Wednesday, August 4, 2010

Markah atau pembelajaran?

Tajuk di atas memang selalu menjadi pendebatan di peringkat sekolah, daerah,negeri atau kebangsaan sekalipun. Penilaian yang sebenar bagi memenuhi kehendak falsafah pendidikan negara selalu menjadi pertikaian di kalangan ahli akademik dan pengurus-pengurus pendidikan.Golongan yang tersepit adalah golongan guru yang mana merupakan golongan yang akan menjalankan tugas tersebut. Penukaran dasar daripada mengajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris ke bahasa melayu mungkin menambah lagi masalah-masalah di sekolah. Masyarakat sebenarnya telah dapat menerima pembelajaran dalam bahasa inggeris. Hanya segelintir sahaja yang membantah, yang mana mereka merujuk kepada markah penilaian yang rendah. Adakah kajian yang dijalankan merangkumi seluruh populasi pelajar di Malaysia? Itu yang menjadi masalah sebenarnya. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting perlu kita ingat adalah pembelajaran pelajar-pelajar itu sendiri. Sebenarnya, apa sahaja bahasa yang kita gunakan selagi ianya difahami oleh pelajar, selagi itulah sesi pengajaran dan pembelajaran boleh difahami oleh pelajar. Guru perlu menerapkan elemen-elemen yang bersesuaian dengan topik yang ingin diajar. Menjana idea pelajar adalah sangat penting bagi memastikan pelajar dapat memahami apa kehendak dan apa yang mereka sedang belajar. Hal inilah yang kebiasaannya menjadi isu guru-guru di sekolah. Mengajar sehingga mereka faham dan mencapai objektif serta hasil yang diingini atau mengajar sehingga selesai silibus sebelum peperiksaan bermula. Kekangan masa, pihak pentadbir juga menjadi salah satu persoalan yang mungkin tidak dapat dileraikan buat masa sekarang. Namun, guru-guru tidak menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini. Mereka sedaya upaya mencuba supaya kedua-dua perkara yang disebutkan tadi dapat dicapai.

Monday, August 2, 2010

Pembelajaran dan idea sebelum pembelajaran

Pembelajaran matematik merupakan satu pembelajaran yang memerlukan strategi yang berkesan bagi memastikan pelajar atau murid dapat menerima dengan optimum. Secara konsepnya, matematik adalah satu proses yang mana lebih kepada hubungan manusia dengan alam sekitar.Menjana idea untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan adalah amat penting. Sebagai seorang guru matematik, saya mendapati sesetengah pelajar saya sangat takut dengan matapelajaran ini. Dari soal selidik yang dijalankan, mereka menganggap subjek ini susah dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Mereka juga tertanya-tanya, apa kepentingan mempelajari sesetengah tajuk seperti 'shape and space' kerana mereka berpendapat, tiada aplikasi untuk tajuk tersebut.